Singa (Panthera leo) adalah mamalia karnivor yang terangkum dalam keluarga Felidae. Digelar Raja Rimba, ia merupakan salah satu daripada empat jenis kucing besar dalam genus Panthera. Dengan jantannya yang sangat besar, melebihi 250 kilogram (550 paun) beratnya, haiwan ini adalah kucing yang kedua terbesar selepas harimau. Singa-singa hidup selama lebih kurang 10–14 tahun di dalam hutan belantara, manakala dalam penawanan, haiwan ini boleh hidup melebihi 20 tahun. Singa amat suka bergaul, berbanding dengan kucing-kucing yang lain. Sekawanan singa terdiri daripada sekawanan singa betina dan anak-anak berkait serta sebilangan kecil singa jantan dewasa. Kawanan singa ini sangat menjaga wilayahnya. Anak-anak singa jantan yang telah dewasa akan diusir. Singa betina lazimnya memburu secara berkumpulan,dan biasanya memburu ungulat-ungulat besar seperti kuda belang, kerbau, zirafah, badak air dan juga gajah muda.
Singa adalah benar-benar pemangsa, walaupun haiwan ini juga mencari-cari makanan jika terdapat peluang. Sedangkan singa pada umumnya tidak memburu manusia, sesetengahnya diketahui menjadi pemakan manusia dan mencari-cari mangsa manusia.Singa-singa lazimnya menghuni di savana dan di padang rumput, walaupun haiwan ini juga menghuni di belukar dan hutan.
Singa-singa liar kini wujud di Asia dan kawasan sub-Sahara di Afrika, dengan saki-baki yang sangat terancam terdapat di kawasan-kawasan barat laut India. Singa-singa telahpun lama pupus di benua Afrika Utara, Timur Tengah, dan Asia Barat sejak dari awal-awal lagi. Sehingga akhir zaman Pleistosen (kira-kira 10,000 tahun dahulu), singa adalah mamalia daratan besar yang paling banyak, selain daripada manusia. Ketika itu, singa-singa boleh ditemui di kebanyakan kawasan Afrika serta juga di kebanyakan Eurasia dari Eropahbarat sehingga ke India, selain daripada di kawasan jambatan darat Bering dan di Amerika dari Yukon hingga ke Peru.Singa merupakan antara haiwan "wajib" di zoo.